siddiq-osman

Saturday, May 5, 2012

puisi untuk bersih

Bersih, Apa Mahumu?

Bersih dahulu bicara pada kitab kuning,
kemudian dalam buku sivik,
kini hanya pada yang cerdas.

Baju kuninglah yang paling bersih,
masakan tidak itulah salinan diraja.
Dahulu khusus pada baginda.

Dituntut bersih oleh sekalian jelata.
Pada Suruhanjaya yang gagal bersihkan tugasnya.
Dimintakan lapan perkara.
Tulus, jujur, kudus, telus.
mulus, lulus, 
supaya rakyat boleh perlus dan jerluskan pemimpin yang jijik.

Sudah adat pusaka mamak dan sebelumnya,
diminta lain diterima lain pula.
Kalau lelaki pos menyampai surat jawapan duka dan suka.
Kini lelaki polis dan juga perempuannya menjadi penyampai.

Maka terimalah rakyat lapan perkara:
Tumbuk, terjah, kilas, rotan,
caci maki, dilanggar lenyek, gas dan kimia.
Mereka fikir mereka perwira,
tetapi  hanya barua.

Sudah hampir menuju keempat,
andai pertama tidak dilupa,
kedua menumbuh luka,
yang tiga tambah derita.
Pastilah yang keempat penamat duka.

Bukankah malam itu hanya dibahagi tiga?
Kelak siang pasti menjelma.
Jika bukan mentari yang menyinar,
ayam jantan jugalah yang bakal hingar.

Sudah sampai masa tikus kembali ke sarang.
Tiba sudah saat jebon menghilang.
Kerana Kuning akan memanjat langit ,
menyimbah bumi gilang gemilang,
terang benderang.

Siddiq Osman 
Hanya di pinggir BERSIH 3.0
Setiap detik sehingga BN tumbang.

posted by umaq_eiman at 4:44 PM 0 comments

Thursday, May 3, 2012

saya tak ikut bersih .. tapi masuk sayembara puisi bersih.

kalau menang layak ke macam tu..?
posted by umaq_eiman at 9:18 PM 0 comments

Monday, April 11, 2011

Cerpenku Lolos lagi...

Tajuknya pun belum pasti tapinya majalah tunas cipta juga ... beli ya keluaran april cari cerpen siddiq Osman.
posted by umaq_eiman at 12:57 AM 0 comments

Sunday, March 20, 2011

Kritikan HAMKA Terhadap Sistem Kapitalis dan Adat Kolot Dalam Merantau ka-Deli.


Oleh: Siddiq Osman.

BUKU berusia lebih 4 dekad itu sudah lusuh ketika saya melihat mertua saya, seorang pesara guru, meletakkannya di rak buku di rumahnya. Saya meminta izin untuk membaca novel yang telah lusuh jasadnya itu. Ya, jasadnya begitu lusuh tapi tema dan mesejnya hidup dan terus segar tidak ditelan zaman.

Pada pendahuluannya saya merasakan professor seperti HAMKA sedang mengkritik gaya hidup kapitalis yang telah mengorak sistem sosial republik Indonesia ketika itu. Tetapi setelah diamati dalam-dalam kini kuli-kuli kontrak itu boleh diterjemahkan kepada golongan bawah paras sederhana yang ada di serata dunia. Hidup mereka sentiasa ditipu oleh pemodal-pemodal yang dinamakan Pak HAMKA Tawkey-tawkey besar. Manakala mandor-mandor pula merujuk kepada pegawai pegawai tinggi hari ini. Sistem kapitalis ini memang menjadikan yang kaya bertambah senang dan yang miskin kekal sengsara. Inilah sistem yang menurut Pak HAMKA melahirkan rumah-rumah pelacuran dan pusat-pusat perjudian yang terus menerus menjerat golongan miskin yang tidak cerdik atau pendek fikir supaya terus menjadi hamba memenuhkan kantung golongan atasan.

Seterusnya Pak HAMKA membawa kepada sistem yang sepatutnya berlaku dalam suasana ekonomi yang menjadi penawar sosial. Dengan membawa watak Leman dan Poniem yang berjaya dari berada dalam kasta sederhana menjadi golongan lebih senang mereka tidak memeras tetapi membantu melahirkan ramai lagi golongan yang senang dan mengangkat martabat setiap kenalan yang datang mengadu. Inilah sistem takaful yang sebenarnya ditawarkan dalam sosio-ekonomi Islam sejak zaman Madinah lagi. Bangun seluruh isi negara agar sama-sama terangkat dan kemajuan itu terus mengukuh. Tanpa alpa Pak HAMKA menyemai nilai kesatuan tanpa mengira etnik atau adat dan bangsa. Pak HAMKA memberi jalan mudah untuk bersatu dalam melerai tuntutan khilaf untuk menuju penyatuan iaitu dalam dialog antara Poniem dan Leman yang meminta Leman berbicara hati ke hati dengan isterinya yang berasal dari suku lain.

Kehadiran Suyono melengkapkan sistem taawwun yang seperti mahu dicadangkan kepada masyarakat iaitu mewujudkan suasana menang-menang dan beri ambil dalam bergaul. Suyono memberi setia Leman dan Poniem memberi selesa. Perihal ini berlangsung tanpa kontrak yang menipu seperti yang berlaku pada sistem kapitalis yang menyediakan aku janji dan pelbagai dokumen yang kononnya bagi menjaga kedua pihak. Padahal kontrak itu selalunya menguntungkan pihak atasan sahaja. Saya terpegun seketika menikmati novel ini. Menurut ayah mertua ini bacaan sillibus untuk Sijil Rendah Pelajaran zaman pertengahan 1960-an. Begitu bernilai bacaan orang dahulu.

Setelah itu Klimaks novel ini mengisahkan bagaimana Leman yang menjadi adat pada lelaki tidak teguh janji mensia-siakan Poniem yang setia, atas alasan memenuhi kehendak keluarga. Seolah Pak HAMKA ingin menegur kaumnya jangan diikutkan nafsu dalam urusan nikah kahwin dan jangan mencari nikmat sementara tanpa berfikir dalam-dalam. Akhirnya Poniem diceraikan kerana sudah adat kolot yang diturutkan oleh kaum Leman mengongkong suaminya dari memilih kebahagiaan. Benarlah kata pepatah biar mati anak jangan mati adat. Adat itu selalu sahaja meragut kebahagiaan. Apa salahnya kurang beradat jika ada bahagia. Bukanlah ingin di salahkan adat tetapi dikutuk di sini terlalu dungu dalam menurut adat. Adat itu untuk membawa bahagia jika sudah akibatnya jelas derita untuk apa kita menurut? Seolah begitulah apa yang mahu dihidupkan dalam penceritaan kisah Leman yang menerima malang kerana tersalah turut hati dan adat.

Nilai murni dicalit pada latar malang si Poniem dan si Suyono yang terus cekal membina semula hidup dalam konsep taawwun yang dibina dari awal cerita. Kukuh dan majulah akibat mereka yang berterusan di atas konsep saranan Pak HAMKA dan luluh binasalah mereka yang menentang konsep yang dicemuh pak HAMKA dalam novelnya ini. Si Leman akhirnya kalah dalam rantaunya ke Deli walaupun hampir berjaya awalnya. Manakala si Poniem yang hampir lemas dalam nasib malang itu berakhir dengan bahagia dalam perantauannya ke Deli. Dalam penutup ini seolah ingin digambarkan bukanlah tempat atau tanah yang menentukan nasib untung atau rugi. Tetapi sikap dan lakulah yang menjanjikan jalan keuntungan atau kerugian.

Saya sarankan pembaca mencari novel ini dan nikmatinya. Saya yakin naskah yang hampir lerai kepingannya itu mampu meneguhkan minda dan jiwa siapa-siapa yang mencari kekuatan untuk membina perinsip hidup terutamanya golongan remaja yang sedang membina fikir dan jati diri mereka. Novel ini menggarapkan semangat yang besar dalam gaya yang sederhana.

Walaupun sedikit canggung Pak HAMKA memilih watak perempuan simpanan yang terjerat dan berani berubah sebagai watak beruntung. Di samping kisah rumah tangga yang kacau dek ribut hasutan kaum keluarga sebagai peringatan kepada kaum lelaki, tetapi olahan Pak HAMKA meleraikan canggung hingga menjadikan pembacaan turut mengheret emosi kita agar bersetuju dalam rasa marah dan benci pada Leman tatkala mahu juga menambah isteri walau risiko telah jelas di mata. Teknik penulisan Pak HAMKA sudah tentulah sangat kuat. Walaupun jelas penulis tersohor itu menghukum salah adat Minang melebihkan kaum wanita dalam hak milik tetapi dikupas elok agar tidak timbul anti Minang dalam kalangan pembaca. Kerana ada saja jalan keluar jika lelaki Minang mahu untuk tidak menurut.

Namun toleran begitu tidak diberi pada menghukum cacat sistem kapitalis Pak HAMKA mencantas terus sikap dan etika yang memuakan dalam lima puluh muka pertama. Saya sangat senang membaca 174 halaman sehingga larut malam sedang melayan si kecil yang sedang meragam kerana hidungnya tersumbat. Entahlah bagaimana jika kalian menyantap novel ini tatkala berada di pondok santai yang menghadap deru laut yang tenang. Selamat mencari dan menghayati.

posted by umaq_eiman at 11:09 PM 0 comments

Wednesday, March 31, 2010

Al Kafirun

بسم الله الرحمن الرحيم
Surah Al-Kaafirun

 
MUQADDIMAH

Surah Al-Kaafirun mengandungi 6ayat dan ia merupakan salah satu surah dari surah-surah Makiyah.
Pada zaman ketika awal penyebaran islam di Makkah, terjadilah satu perbalahan diantara sekelompok orang musyrikin (iaitu Al-Walid bin Al-Mughirah, Al-`Aas bin Al-Wa`il, Aswad bin Al-Muthalib, dan juga Umaiyah bin Khalaf) yang mana mereka telah memberi cadangan jahat kepada Rasulullah s.a.w supaya baginda mengikut agama mereka menyembah berhala selama setahun, dan pada tahun berikutnya mereka pula menyembah Allah dan mengikut agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. , kemudian tukar semula secara bergilir-gilir selang setahun, sebagai kononnya bagi mendamaikan perbalahan yang mereka hadapi.
Rasulullah s.a.w kemudiannya diam tanpa sebarang jawapan sehinggalah Allah s.w.t menurunkan Surah ini bagi membalas cadangan jahat mereka itu.

TAFSIR
1) Wahai Muhammad, katakanlah kepada mereka yang memberikan cadangan kotor itu: Hai orang-orang kafir yang kufur pada wahyu yang diturunkan Allah, ingkar beribadah padaNya, dan menyekutukan Tuhan yang Esa dengan patung-patung dan berhala!

2) Sekarang ini aku tidak akan menyembah sembahan yang sesat dan apa saja yang kalian sembah sepertimana yang kalian cadangkan.
3) Dan pada sekarang ini juga kalian tidak akan menyembah apa yang aku sembah sepertimana yang telah ditetapkan oleh Allah keatas kalian.
4) Malah pada masa akan datang dan selamanya Aku tidak akan menyembah tuhan yang sesat yang kalian sembah itu.
5) Dan kalian juga tidak akan menyembah Tuhan yang aku sembah ini pada masa akan datang dan selama-lamanya , kerana Tuhanku (Allah) telah menghukumkan ke atas kamu semua dengan kematian di dalam keadaan kufur dan syirik sehingga kamu semua dicampakkan ke dalam neraka dek perbuatan kamu yang menyeleweng, dan hati kamu yang busuk itu.
6) Kalian memiliki agama kalian yang sesat itu dan aku tidak akan mengikutinya, dan Aku mempunyai agamaku yang mana tidak akan diikuti oleh kalian selama-lamanya.

PENUTUP
Dengan itu Allah menyuruh RasulNya memberhentikan pengharapan kepada mereka untuk beriman dan memeluk islam, dan mereka juga berputus asa untuk menghasut baginda supaya mengikut cadangan mereka yang jahat itu. Dan Allah telah menutup pintu hati kesemua mereka, ada yang mati di dalam kafir ketika peperangan Badar dan ada yang mati di makkah dalam keaddan syirik dan kafir sepertimana benarnya kata-kata Allah bahawa mereka tidak akan beriman dengan Islam, dan akan dihumban ke dalam api neraka yang sangat pedih siksanya tanpa sebarang rahmat dari Allah. Na`uzubillahi min zalik.


Wallahu a’lam bissawab.
posted by umaq_eiman at 1:29 AM 0 comments

Al Kautsar

بسم الله الرحمن الرحيم
Al-Kauthar
MUQADDIMAH

Surah Al-Kauthar adalah merupakan surah Makiyah yang mengandungi 3ayat. Terdapat beberapa tafsir mengenai perkataan Al-Kauthar.
a) Nama bagi sebuah sungai disyurga yang dikurniakan Allah khas buat Nabi Muhammad.
b) bermakna Al-Khairul Kathir ( kebaikan / kelebihan yang banyak)
Surah ini ditujukan khusus baut Nabi Muhammad s.a.w yang ketika itu sedang dalam keadaan berduka cita. Diriwayatkan ketika Qasim anak lelaki baginda s.a.w. meninggal dunia , seorang kafir  yang bernama Al-`Aas bin Wa`il  telah datang kepada baginda dan berkata “Maka terputuslah keturunan Muhammad, dan tidak ada pengganti baginya akibat kematian anak lelakinya itu”. Lalu Allah s.w.t menurunkan surah ini bagi membalas kata-kata Al-`Aas dan menenangkan keduka citaan Rasulullah s.a.w, juga bagi mengkhabarkan berita gembira kepada ummat baginda tentang Al-Kauthar iaitu sebuah sungai di syurga yang mana tebingnya diperbuat daripada emas, laluan alirannya daripada batu nilam dan delima, keharuman lebih baik dari kasturi, airnya lebih putih dari salju, dan rasanya lebih manis dari madu. Daripada sungai Al-Kauthar itu terisinya kolam-kolam dan telaga, ia adalah untuk Nabi Muhammad dan orang-orang yang soleh dari ummatnya di hari kiamat kelak.


TAFSIR
1) Sesungguhnya Allah telah menciptakan dan menghadiahkan istimewa khusus kepada Nabi Muhammad s.a.w  dengan Al-Kauthar, iaitu sebuah sungai di syurga yang mana ia adalah antara sungai yang terbaik dari sungai-sungai di syurga itu, dan penuh sengan segala kebaikan di dalamnya.
2) Maka bersyukurlah kepada Allah dengan mengerjakan solat kepadaNya, tidak mensyirikkan Dia, dan berkorbanlah dengan bintang sembelihan hanya kerana Allah s.w.t. . Dan lakukanlah amalan dan ibadah yang lain hanya kerana Allah yang tiada setanding denganNya, tanda syukur kepadaNya.
3) Sesungguhnya orang yang membenci kamu dan mengherdik kamu tidak kira bila dan dimana itu, merekalah sebenarnya yang  paling hina,yang sedikit, dan terbatas, dan terputus dari rahmat Allah dan dari segala apa yang mereka inginkan juga dari rezeki dan keturunan.

PENUTUP
Allah telah menghadiahkan kepada baginda Rasul s.a.w sebuah sungai yang sangat agung di syurga nanti. Ini adalah jelas dengan dalil yang di nyatakan dalam surah Al-Kautahr. Al-Kauthar yang terbaik ini juga akan dapat dirasai oleh ummat Nabi Muhammad s.a.w. Tetapi hanya ummat Nabi Muhammad yang soleh, yang taat kepada perintah Allah, yang melakukan setiap pekerjaan ikhlas kerana Allah dan tidak mensyirikkan Dia sahaja yang dapat merasakannya. Oleh itu marilah sama-sama kita meningkatkan amal ibadah dan ketaqwaan kita hanya kepada Allah agar dapat merasai nikmatnya Al-Kauthar.


Wallahu a’lam bissawab...
posted by umaq_eiman at 1:27 AM 0 comments

Tuesday, February 16, 2010

Baca buku kemudian menulis

Menulis bukanlah kerja enteng. Walaupun ia tidaklah sesusah pergi berperang tetapi menulis untuk hasil yang layak ditatap sebagai bahan ilmu dan bahasa yang indah memerlukan pembacaan yang meluas. Kini saya telah sedar alam buku-buku sebenarnya seluas langit dan bumi. Bahasa sahaja sudah tidak terkira. Jika setiap bahasa ada seribu buku sudah berjuta buku pernah wujud. Tetapi secara pastinya sebuah bangsa sahaja sudah ada jutaan buku pernah disimpan.

Kita boleh menulis dengan mudah jika kita hanya mengulang-ngulang tulisan yang ada dalam buku-buku lain. Apakah kita bisa menulis dengan mudah untuk memastikan buku kita tidak meniru dan mencetak semula ayat lain? hampir mustahil bukan? Tetapi kita yang di akhir zaman ini perlu terus menulis dan menulis supaya pewarisan ilmu ini berterusan.

Budaya menulis seharusnya terhasil dari penerima bacaan yang banyak. Setengah-setengah penulis yang dikenali atau tidak boleh mengatakan saya tidak banyak membaca tetapi saya terus menulis. Ini kelihatan aneh. Tetapi sebenarnya mereka mungkin tidak membaca dari buku tetapi tetap membaca apa yang berlaku dari pengamatan dan pemerhatian. Cumanya pembacaan mereka bukan pada huruf tetapi pada kehidupan.

Saya sedar bahawa untuk membaca kita sangat memerlukan kekuatan bahasa. Sebenarnya untuk menulis kekuatan bahasa yang diperlukan adalah dua kali dari keperluan kita pada bahasa dalam pembacaan mungkin juga lebih.

Jadi wahai diri jadilah pembaca yang konsisten kemudian tulislah untuk mengkhadami ilmu. Guru saya yang ulung pernah berkata membaca itu menambah umur.
posted by umaq_eiman at 9:34 PM 2 comments